Monthly Archives: June 2008

Minyak oh Minyak 2

Apabila minyak sudah naik maka……

Kenderaan serbu stesen minyak

KOTA KINABALU 24 Jun – Stesen minyak di bandar-bandar utama di negeri ini sesak dengan kenderaan ekoran khabar angin yang tersebar luas kononnya para pengusaha stesen itu akan melancarkan mogok dengan menutup operasi mulai esok.

Utusan Malaysia difahamkan, pengguna kenderaan beratur panjang sejak pukul 1 tengah hari untuk mengisi minyak sehingga menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas di beberapa laluan utama.

Keadaan itu juga menyebabkan pengusaha stesen minyak di Sandakan dan Tawau mengehadkan jualan RM50 seorang bagi mengelakkan bekalan minyak kehabisan.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi berkata, pihaknya terpaksa mengerahkan anggota trafik mengawal di kawasan bandar raya bagi mengurangkan masalah kesesakan tersebut.

Khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai mogok tersebut dikatakan berpunca daripada tuntutan pengusaha minyak untuk menaikkan komisen jualan tetapi tidak dipenuhi.

Seorang pengusaha stesen minyak Esso di Kampung Air di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Liau berkata, pengguna mula berasak-asak mengisi minyak pada pukul 1 tengah hari ini.

“Mulanya saya terkejut juga kenapa begitu ramai orang berebut mengisi minyak, malah ada yang membawa botol dan tong tetapi selepas ditanya mereka kata takut pengusaha stesen minyak mogok mulai esok,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini menafikan khabar angin kononnya stesen minyak di Sabah akan ditutup selama beberapa hari sebagai tanda bantahan berikutan ketidakpuasan hati pengusaha stesen minyak terhadap komisen yang diterima oleh mereka.

Beliau berkata, khabar angin itu diterima dan dimaklumkan kepadanya hari ini selepas pembelian panik secara besar-besaran oleh orang ramai di Sabah kerana bimbangkan stesen minyak di negeri itu akan ditutup selama tiga hari.

“Itu hanya khabar angin. Bagaimanapun kita (kementerian) bagi jaminan bahawa Petronas akan membuka operasinya seperti biasa dan ia mampu memenuhi keperluan rakyat di sana.

Beliau berkata, keadaan itu hampir sama dengan suasana waktu diumumkan kenaikan harga minyak sehingga polis trafik terpaksa mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan teruk.

Menurutnya, bekalan minyak di stesen itu mencukupi dan pihaknya tidak mengehadkan jumlah pembelian bagi setiap pengguna.

“Khabar angin itu tidak benar sama sekali. Ini khabar angin sahaja… saya tidak tahu pun akan ada mogok, mereka dapat berita dari mana? Kalau harga minyak nak naik pun mustahil kerana ia baru sahaja naik,” katanya.

Sementara itu, seorang guru, Ahmad Rahmad, 36, berkata, beliau terpaksa berbaris untuk mengisi minyak selama tiga jam.

Katanya, beliau terus bergegas dari rumahnya untuk mengisi minyak sebaik sahaja menerima SMS daripada rakannya mengatakan pengusaha stesen minyak akan mula mogok esok.

“Saya panik selepas mengetahui mereka akan mengadakan mogok selama tiga hari, kebetulan esok saya hendak pergi mengajar dan minyak kereta sudah kurang. Saya berharap perkara ini tidak berlaku dan kerajaan sentiasa mengawal dan memantau situasi demi kebaikan rakyat,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Jamliah Pesan, 37, yang juga terpaksa menunggu hampir tiga jam berkata, meskipun ragu-ragu mengenai kebenaran khabar angin itu, beliau mengambil jalan selamat untuk mengisi minyak.

Katanya, beliau turut berbaris selepas melihat banyak kereta lain berebut mengisi minyak.

“Saya lihat banyak kereta berbaris dan selepas menghubungi kawan, mereka mengatakan stesen minyak akan mogok jadi saya terus berbaris di sini,” ujarnya.

Beliau berharap mogok dan kenaikan harga minyak tidak akan berlaku memandangkan rakyat sudah terbeban dengan kenaikan harga minyak yang mendadak baru-baru ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Jaafar Walad ketika dihubungi memberi jaminan pengusaha stesen minyak di seluruh Sabah akan meneruskan operasi perniagaan mereka seperti biasa.

”Kita sudah menghubungi semua pengusaha stesen minyak mengenai perkara ini. Ternyata laporan SMS itu adalah palsu. Semua stesen akan dibuka seperti biasa,” katanya.

Jaafar berkata, pemantauan yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDNHEP di beberapa kawasan stesen minyak yang diserbu pengguna kenderaan turut mengesahkan ia berpunca daripada khabar angin itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Korporat Shell Sabah dan Labuan, Datin Lucy Irene Yong dalam satu kenyataan menasihatkan pelanggan Shell agar tidak mempercayai khabar angin yang tersebar luas mengenai penutupan semua stesen minyak di Sabah.

Yong berkata, pengusaha stesen Shell akan beroperasi seperti biasa dan orang ramai juga boleh membeli minyak menggunakan kad kredit dan kad subsidi.

Sumber : http://www.utusan.com.my/  25 JUN 2008 RABU

Advertisements

Petua Hilangkan Dengkuran

Jangan biarkan dengkur mengganggu hubungan suami isteri. Cuba kaedah mudah untuk mengurangkan dengkuran.

  • Hilangkan lemah dalam badan dengan bersenam. Bila lemak berkurangan di tekak, ia dapat meluaskan saluran pernafasan dan mengelakkan dengkur.
  • Elak daripada mengambil alkohol, pil tidur atau ubat yang berkaitan kerana dadah boleh menambah kadar kerehatan otot di hidung dan tekak.
  • Biasakan tidur mengiring, jangan melentang. Cara tidur begini menjauhkan lidah dari tekak dan memudahkan pengaliran udara.
  • Atasi masalah alahan. Jika anda alah kepada habuk atau bau tertentu, hapuskan benda itu di persekitaran rumah anda. Alahan akan mengganggu tisu di hidung dan tekak.
  • Tinggikan kedudukan kepala dengan bantal ketika tidur kerana ia dapat memberi ruang lebih luas di saluran pernafasan.
  • Tetapkan jadual tidur. Tidur dan bangun pada waktu yang tetap setiap hari. Ini dapat menetapkan kadar pernafasan dan mengurangkan dengkuran.
  • Jauhi rokok. Mengurangkan asap rokok dapat mengelak lelehan dan bengkak tisu hidung dan tenggorok.

Minyak oh Minyak

Pertikan daripada http://www.utusan.com.my

ARKIB : 10/06/2008 <!–         –>

4 cara ringankan beban rakyat

PUTRAJAYA 9 Jun – Kerajaan hari ini mengumumkan empat langkah khusus berkuat kuasa serta-merta untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan harga minyak selain mengurangkan perbelanjaan awam sehingga RM2 bilion setahun.

Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Membanteras Inflasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah-langkah itu akan diikuti beberapa ikhtiar lain yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Empat langkah itu ialah pengurangan perbelanjaan kerajaan, mempercepatkan bayaran tunai kepada pemilik kenderaan yang memperbaharui cukai jalan, kuota kemudahan kad fleet yang lebih tinggi untuk pengusaha pengangkutan dan menambah baik jaringan jaminan sosial.

Arahan-arahan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan meliputi:

Tidak membenarkan penyusunan semula organisasi kementerian, jabatan atau badan berkanun kecuali yang tidak melibatkan pewujudan jawatan baru;

Pengurangan elaun keraian menteri Kabinet sebanyak 10 peratus;

Perjalanan menteri dan pegawai kerajaan ke luar negara dikaji semula, hanya melibatkan persidangan atau mesyuarat antarabangsa yang penting dengan jumlah pegawai yang terhad;

Penggunaan kemudahan hotel hanya untuk persidangan antarabangsa dan semua kursus, latihan dan bengkel anjuran kementerian untuk anggotanya hendaklah dihadkan dan menggunakan kemudahan sedia ada;

Sewa ruang pejabat baru, perpindahan pejabat ke bangunan lain dan ubah suai pejabat sedia ada tidak lagi dibenarkan;

Pembelian aset seperti kereta dan kelengkapan pejabat dikurang atau ditangguhkan terutama yang belum dimuktamadkan;

Pengurangan penganjuran majlis keraian seperti pembukaan pejabat, persidangan dan mesyuarat. Jika dianjur, ia mesti dilakukan secara sederhana; dan

Anggaran perbelanjaan mengurus 2008 dikaji semula termasuk pemotongan 10 peratus ke atas Objek Am 20000 (Perkhidmatan dan Bekalan) dan Objek Am 30000 (Aset).

Menurut Perdana Menteri, pekeliling mengenai arahan pengurangan perbelanjaan itu akan diedarkan ke semua pejabat kerajaan.

“Kerajaan turut merasai keperitan rakyat dan berasakan pucuk pimpinan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dalam menghadapi cabaran ini,” ujarnya.

Abdullah berkata, peningkatan harga barang dan bahan api memaksa semua pihak mengambil langkah berjimat cermat termasuk kerajaan yang perlu mengurangkan perbelanjaannya.

Katanya, penjimatan sebanyak RM2 bilion akan membolehkan kerajaan menyalurkannya untuk kegunaan lain termasuk membantu rakyat berpendapatan rendah dalam menghadapi tekanan ekonomi ketika ini.

Kerajaan, kata Perdana Menteri, menyedari tentang beban yang ditanggung oleh rakyat ketika ini dan berusaha untuk mengurangkan beban mereka.

“Rakyat memerlukan bantuan dan mahu tindakan daripada kerajaan yang boleh mengurangkan beban mereka.

“Kerajaan prihatin dengan rakyat dan kita akan mengambil tindakan walaupun tindakan pertama kita (naikkan harga minyak) mengejutkan dan membebankan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berharap, beberapa langkah susulan yang diambil selepas itu, termasuk inisiatif yang diumumkan hari ini, dapat mengurangkan beban mereka.