Minyak oh Minyak 2

Apabila minyak sudah naik maka……

Kenderaan serbu stesen minyak

KOTA KINABALU 24 Jun – Stesen minyak di bandar-bandar utama di negeri ini sesak dengan kenderaan ekoran khabar angin yang tersebar luas kononnya para pengusaha stesen itu akan melancarkan mogok dengan menutup operasi mulai esok.

Utusan Malaysia difahamkan, pengguna kenderaan beratur panjang sejak pukul 1 tengah hari untuk mengisi minyak sehingga menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas di beberapa laluan utama.

Keadaan itu juga menyebabkan pengusaha stesen minyak di Sandakan dan Tawau mengehadkan jualan RM50 seorang bagi mengelakkan bekalan minyak kehabisan.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi berkata, pihaknya terpaksa mengerahkan anggota trafik mengawal di kawasan bandar raya bagi mengurangkan masalah kesesakan tersebut.

Khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai mogok tersebut dikatakan berpunca daripada tuntutan pengusaha minyak untuk menaikkan komisen jualan tetapi tidak dipenuhi.

Seorang pengusaha stesen minyak Esso di Kampung Air di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Liau berkata, pengguna mula berasak-asak mengisi minyak pada pukul 1 tengah hari ini.

“Mulanya saya terkejut juga kenapa begitu ramai orang berebut mengisi minyak, malah ada yang membawa botol dan tong tetapi selepas ditanya mereka kata takut pengusaha stesen minyak mogok mulai esok,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini menafikan khabar angin kononnya stesen minyak di Sabah akan ditutup selama beberapa hari sebagai tanda bantahan berikutan ketidakpuasan hati pengusaha stesen minyak terhadap komisen yang diterima oleh mereka.

Beliau berkata, khabar angin itu diterima dan dimaklumkan kepadanya hari ini selepas pembelian panik secara besar-besaran oleh orang ramai di Sabah kerana bimbangkan stesen minyak di negeri itu akan ditutup selama tiga hari.

“Itu hanya khabar angin. Bagaimanapun kita (kementerian) bagi jaminan bahawa Petronas akan membuka operasinya seperti biasa dan ia mampu memenuhi keperluan rakyat di sana.

Beliau berkata, keadaan itu hampir sama dengan suasana waktu diumumkan kenaikan harga minyak sehingga polis trafik terpaksa mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan teruk.

Menurutnya, bekalan minyak di stesen itu mencukupi dan pihaknya tidak mengehadkan jumlah pembelian bagi setiap pengguna.

“Khabar angin itu tidak benar sama sekali. Ini khabar angin sahaja… saya tidak tahu pun akan ada mogok, mereka dapat berita dari mana? Kalau harga minyak nak naik pun mustahil kerana ia baru sahaja naik,” katanya.

Sementara itu, seorang guru, Ahmad Rahmad, 36, berkata, beliau terpaksa berbaris untuk mengisi minyak selama tiga jam.

Katanya, beliau terus bergegas dari rumahnya untuk mengisi minyak sebaik sahaja menerima SMS daripada rakannya mengatakan pengusaha stesen minyak akan mula mogok esok.

“Saya panik selepas mengetahui mereka akan mengadakan mogok selama tiga hari, kebetulan esok saya hendak pergi mengajar dan minyak kereta sudah kurang. Saya berharap perkara ini tidak berlaku dan kerajaan sentiasa mengawal dan memantau situasi demi kebaikan rakyat,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Jamliah Pesan, 37, yang juga terpaksa menunggu hampir tiga jam berkata, meskipun ragu-ragu mengenai kebenaran khabar angin itu, beliau mengambil jalan selamat untuk mengisi minyak.

Katanya, beliau turut berbaris selepas melihat banyak kereta lain berebut mengisi minyak.

“Saya lihat banyak kereta berbaris dan selepas menghubungi kawan, mereka mengatakan stesen minyak akan mogok jadi saya terus berbaris di sini,” ujarnya.

Beliau berharap mogok dan kenaikan harga minyak tidak akan berlaku memandangkan rakyat sudah terbeban dengan kenaikan harga minyak yang mendadak baru-baru ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Jaafar Walad ketika dihubungi memberi jaminan pengusaha stesen minyak di seluruh Sabah akan meneruskan operasi perniagaan mereka seperti biasa.

”Kita sudah menghubungi semua pengusaha stesen minyak mengenai perkara ini. Ternyata laporan SMS itu adalah palsu. Semua stesen akan dibuka seperti biasa,” katanya.

Jaafar berkata, pemantauan yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDNHEP di beberapa kawasan stesen minyak yang diserbu pengguna kenderaan turut mengesahkan ia berpunca daripada khabar angin itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Korporat Shell Sabah dan Labuan, Datin Lucy Irene Yong dalam satu kenyataan menasihatkan pelanggan Shell agar tidak mempercayai khabar angin yang tersebar luas mengenai penutupan semua stesen minyak di Sabah.

Yong berkata, pengusaha stesen Shell akan beroperasi seperti biasa dan orang ramai juga boleh membeli minyak menggunakan kad kredit dan kad subsidi.

Sumber : http://www.utusan.com.my/  25 JUN 2008 RABU

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: