Monthly Archives: December 2009

Perihal Solat Jama’ & Qasar

Artikel ini di ambil dari website http://www.zaharuddin.net/content/view/319/95/

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya sering balik kampung dan berjalan jauh. Saya mengetahui ketika musafir kita boleh menjamakkan solat, tetapi lantaran kurangnya ilmu tentang hal itu membuatkan saya tidak yakin untuk melaksanakan solat tersebut. Saya hanya mengqada solat setelah sampai ke destinasi. Banyak perkara yang mengelirukan saya. Misalnya kita tidak boleh menjamakkan solat sekiranya akan mendiami destinasi tersebut lebih dari tiga hari. Kita juga tidak boleh menjamakkan solat sekiranya destinasi tersebut adalah kampung halaman kita.

Namun ada yang mengatakan kita boleh menjamakkan solat kerana ia bukan bergantung pada destinasi yang akan kita pergi, tetapi ia bergantung pada tempat di mana kita menjamakkan solat. Contohnya, di pertengahan jalan, kita terhenti, kita tidak berada di situ lebih dari tiga hari dan tempat itu bukan kampung halaman kita.

Oleh itu saya amat berharap ustaz dapat menerangkan tentang solat jamak dan qasar, syarat-syaratnya dan cara mendirikannya, agar saya dapat mempraktikkannya kelak.

– Hayati, Sg Besi.

Jawapan

wa’alaikumussalam

Saudari sepatutnya menjama’kan sahaja solat, qadha solat adalah sesuatu yang amat kurang baik untuk diamalkan. Qadha solat juga hanya wujud apabila seseorang tertinggal kerana uzur seperti tertidur dan yang seumpamanya. Sebarang tindakan meninggalkan solat secara sengaja adalah mengundang dosa walaupun qadha dilakukan.

Berikut pula syarat untuk men”qasar”kan solat menurut mazhab Syafie (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/359-365) :-

i. Hanya tertakluk kepada keadaan bermusafir dengan jarak melebihi 85 KM.

ii. Hanya boleh di qasar apabila telah melepasi sempadan kampung atau taman perumahannya.

iii. Mengetahui destinasinya dan ia tidak bertujuan maksiat.

iv. Tidak berimamkan orang yang menunaikan solat penuh (4 rakaat).

v. Berniat qasar semasa takbiratul ihram solatnya.

vi. Mestilah solat qasar itu dilakukan dalam keadaan bersmusafir dari awal hingga akhirnya.

vii. Jika ia berniat (semasa bertolak) untuk duduk di sesuatu destinasi lebih dari tiga hari (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka ia tidak berhak untuk melakukan qasar solat, sejurus sampainya ia ke destinasi itu. Jika ia tidak berniat lebih dari tiga hari atau langsung tidak punyai niat berapa hari, kiraan 3 hari adalah tidak termasuk hari sampai dan hari pulang. Dalamtempoh itu, ia boleh menqasarkannya jika tiada niat 3 hari.

Solat jama’ pula semua syaratnya sama dengan solat qasar. Berikut maklumat beberapa maklumat tentang jama’ solat :-

i. Jama’ tidak hanya tertakluk kepada keadaan musafir, terdapat keadaan sukar yang lain seperti hujan terlampau lebat, salji, keadaan merbahaya di luar, sakit (mazhab Syafie tidak membenarkan jamak kerana sakit tetapi harus menurut mazhab Maliki dan Hanbali, Rujuk Ikhtilaf Aimmah al-Ulama, Ibn Hubayrah, 1/150), semasa Haji, itulah beberapa contoh keadaan yang di benarkan untuk di jama’ kan solat. (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1375)

ii. Solat jama’ boleh dilakukan dalam dua bentuk :-

Pertama : Jamak Taqdim

Ertinya : Di gabungkan dua solat dalam waktu solat yang pertama seperti zohor dan asar di dalam waktu zohor, atau maghrib dan isyak di dalam waktu maghrib.

Ia berdasarkan hadith  shohih dari Muadz Bin Jabal riwayat Ahmad, Tirmidzi Ibn Hibban dan lain-lain.

Syaratnya :

1) Solat dilakukan menurut tertibnya atau yang awal terlebih dahulu (zohor dahulu dan asar di kemudiannya, maghrib dahulu dan isyak di kemudiankan), jika tidak maka batal solatnya menurut mazhab Syafie. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 1/371 )

2) Berniat jamak ketika solat pertama dilakukan, dan harus juga berniat jamak walaupun solat telah bermula. Lafaz niatnya tidaklah perlu di baca dalam bahasa arab, dalam bahasa melayu juga di benarkan. Tatpi perlu ingat lafaz niat bukannya niat tetapi hanya sebagai pembantu agar niat boleh hadir dengan lebih mudah. Lazfa niat ini adalah saranan mazhab Syafie sahaja, manakala Rasulullah SAW sendiri tidak pernah melakukannya, justeru jika mampu menghadirkan niat di dalam hati tanpa berlafaz, itu yang terbaik.

3) Mestilah berturut-turut (Muwalat); Pastikan jangan terdapat pemisahan yang agak panjang atau urusan lain di tengah-tengah kedua-dua solat.

Kedua : Jamak Takhir

Ertinya : Menggabungkan dua solat dalam satu waktu, iaitu waktu solat yang terkemudian. (seperti zohor dan asar di tunaikan dalam waktu asar).

Ia dibenarkan syarak berdasarkan hadith yang shohih dari Anas dan Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. (Rujuk Naylul Awtar, 3/212)

Syarat-syaratnya :

1) Niat Takhir sebelum habisnya waktu solat pertama (iaitu niat dilewatkan solat pertama untuk digabungkan dalam waktu asar atau isyak)

2) Berterusan dalam keadaan musafir sehingga tamat solat yang kedua.

Soalan saudari tentang tidak boleh jamak sekiranya destinasi perjalanan itu adalah kampung halaman sendiri adalah seperti berikut (Rujuk Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, 2/1362 cet 4, dar Al-Fikr):-

a- Seseorang yang kerja di KL, manakala kampung kelahirannya di Batu Pahat, Johor atau mana-mana jarak yang melebihi 85 KM. Apabila ia sampai ke kampong asalnya ( ibu bapanya juga di sana) ia tidak boleh lagi menqasarkan solat kerana ia tidak dikira bermusafir lagi apabila telah sampai ke kampung walaupun berniat duduk kurang dari 3 hari.

b- Seseorang yang kampung kelahirannya di Perak, dan ia kerja di KL dan kampung isterinya di Johor. Apabila ia balik ke kampung isterinya, juga tidak boleh qasar apabila telah sampai. Bagaimanapun terdapat pandangan menegatakan si suami berhak menjamak dan qasar kerana ia bukan tempat tinggalnya. Bagi saya, kelaur dari yang khilaf adalah lebih baik dalam hal ini.

c- Sekiranya ia dalam perjalanan balik dari kampung Johor atau Peraknya ke KL, ia juga tidak boleh meng”qasar”kan solat apabila telah sampai ke rumahnya di KL

Adapun kenyataan saudari “tidak berada lebih tiga hari di sesuatu tempat perhentian” adalah syarat untuk qasar sahaja. Adapun solat jamak, maka ia masih di bolehkan jika terdapat sebab-sebab yang di sebutkan di atas.

Sekian

http://www.zaharuddin.net/

Solat Jamak & Qasar – DOWNLOAD

Download E-Book

Advertisements

Manusia Di dalam Kerugian

Demi Masa!
Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berwasiat dengan kesabaran.

Allah Maha Mengetahui keadaan dan nasib manusia kerana Dialah yang mencipta manusia itu. Dalam surah Al-Asr ini, Allah bersumpah bahawa semua manusia dalam kerugian kecuali 4 golongan iaitu:
http://bahrulfikri.files.wordpress.com/2009/07/waktu.jpeg 1.mereka yang beriman
2.beramal soleh
3.menasihati atas kebenaran dan
4.menasihati atas kesabaran
Ini bermakna semua manusia tanpa mengira kedudukan sama ada kaya, miskin, berpelajaran tinggi, keturunan bangsawan atau peminta sedekah; kesemuanya Allah memberi amaran/ingatan tentang kerugian yang menimpa mereka.

Untuk mengelakkan dari kebinasaan dan kerugian ini, mereka diberikan 4 alternatif seperti yang disenaraikan di atas; iaitu beriman, beramal soleh, bercakap atas kebenaran dan juga atas kesabaran.

1. Manusia yang beriman ialah mereka yang mempunyai kesedaran tertinggi dan meyakini bahawa di sebalik alam yang luas ini, ada ‘zat’ yang MAHA BESAR dan MAHA KUASA yang mencipta dan mengendalikan keseluruhan alam ini. Begitu juga di sebalik alam nyata ini ada lagi alam kehidupan yang lebih besar dan indah iaitu kehidupan akhirat yang kekal dan abadi bagi setiap manusia. Sesiapa juga manusia tanpa mengira apa kedudukan sosio-ekonominya, akan terjerumus ke dalam api neraka yang amat panas sekiranya tidak mempunyai keimanan terhadap perkara-perkara ghaib ini.

Hidup di dunia ini adalah sementara. Kita akan berpindah ke alam barzakh (awal alam akhirat) tidak lama lagi iaitu selepas kita dimatikan. Yang dapat menyelamatkan kita di kubur ialah iman kepada Allah. Termasuk dalam ertikata iman ialah bukan setakat mempercayai Allah sahaja tetapi mesti dibuktikan dengan amalan. Jadi iman dan amal soleh ialah gandingan terbaik untuk menempuh dugaan di alam akhirat. Iman tanpa amal adalah ibarat pokok tanpa buah. Oleh itu kita dikehendaki melengkapkan diri dengan iman dan amal supaya hidup kita tidak sengsara sepanjang hayat tanpa batas waktu di akhirat.

2. Manusia kedua yang tidak akan rugi ialah mereka yang beramal soleh atau mengerjakan kebajikan. Orang yang meninggal dunia tanpa sebarang kerja kebajikan atau amal soleh akan rugi kerana mereka akan diseksa di dalam api neraka. Nasib kita di akhirat tidak sekali-kali bergantung kepada harta kekayaan, kedudukan pangkat atau pengetahuan tetapi sebaliknya ia dinilai dengan amal solehnya. Sungguhpun begitu ada juga orang yang rajin membuat amal kebajikan tetapi sayangnya tidak mempunyai keimanan terhadap Allah. Golongan seperti ini adalah rugi juga kerana tidak mempunyai asas aqidah terhadap Allah yang wajib ada dalam setiap individu. Kesemua amalan kita tidak akan diterima Allah jika tidak berpaksi kepada dasar keimanan kepada Allah.

Oleh sebab itu, kita seharusnya menggunakan masa hidup kita yang tidak lama ini untuk melakukan amal soleh sebanyak–banyaknya. Alangkah ruginya seseorang yang berbadan sihat, tegap,mempunyai hartabenda yang banyak tetapi seluruh kekuatan, kesihatan dan harta bendanya digunakan untuk kepentingan diri dan keluarganya sahaja. Lebih dahsyat lagi jika ia digunakan untuk melakukan maksiat, aniaya, fitnah dan menzalimi orang lain. Sepanjang hidup ini kita tidak lari dari melakukan 2 perkara sama ada amal soleh (baik) atau amal tholeh (jahat). Orang yang berjaya ialah mereka yang beramal soleh bukan beramal tholeh. Diri kita adalah sebaik-baik kompas untuk menilai yang soleh atau sebaliknya. Namun tidak semua orang dapat memberikan penilaian yang tepat, malah ada orang memandang kebajikan itu sebagai kejahatan dan kejahatan pula dipandang sebagai kebaikan. Kesemua ini memerlukan ilmu yang menjadi syarat untuk memberikan penilaian yang benar dan tepat berlandaskan syariat Islam.

Amal kebajikan boleh diusahakan dengan pelbagai cara sama ada dengan material atau menggunakan anggota badan. Menasihat kawan adalah kebajikan. Membuang duri di jalan juga satu kebajikan. Memberi makan kepada binatang juga kebajikan; apatah lagi memberi makan kepada fakir miskin. Pendek kata jika kita tahu caranya, semua aktiviti kita boleh dikategorikan kepada amal kebajikan.

Dengan melakukan amal kebajikan belum menjamin keselamatan seseorang selagi tidak meninggalkan kejahatan. Antara dua perkara iaitu membuat makruf (kabajikan) dan meninggalkan mungkar (kejahatan), yang kedua amat sukar dilakukan. Ramai orang mampu membuat kebaikan tetapi untuk meninggalkan kejahatan tidak semudah itu. Contohnya ramai wanita boleh bersolat 5 waktu tetapi tidak sanggup menutup aurat atau mengumpat. Ada ulama berpendapat sebelum mengerjakan kebajikan hendaklah terlebih dahulu meninggalkan maksiat dengan cara bertaubat nasuha.

Sungguhpun begitu dalam keadaan-keadaan tertentu, amal kebajikan yang kita buat dapat juga menghapuskan kejahatan-kejahatan. Namun yang lebih baik ialah sebelum melakukan kebajikan, perlulah membuang segala amal kejahatan terlebih dulu. Ini bermakna kita hendaklah mengosongkan diri kita dari segala maksiat sebelum melakukan kebajikan; sesuai dengan sunnah Nabi yang dibedah sebelum dibawa melakukan perjalanan Isra’ dan Mikraj.

Umum mengetahui bahawa setiap pekerjaan kita sama ada yang besar atau kecil sentiasa dicatat atau direkod oleh malaikat yang dipertugaskan Allah supaya di akhirat nanti mereka akan dipertanggungjawabkan. Nyatalah kehidupan kita di dunia ini bukan sia-sia atau sembarangan. Kita mempunyai misi dan wawasan yang perlu dipenuhi di dunia ini sesuai dengan firman Allah:

Yang Bermaksud;

‘Barangsiapa mengerjakan kebajikan walau sekecil zarah sekalipun akan dilihat (balasannya), dan barangsiapa mengerjakan kejahatan walau sekecil zarah sekalipun akan dilihat juga. (Ini bermakna walau sekecil manapun kebaikan atau kejahatan yang kita lakukan akan kita rasakan akibatnya nanti”

Oleh itu untuk keselamatan di alam yang abadi, saya menyeru diri saya sendiri dan saudara-saudara semua supaya melakukan kebajikan sebanyak mungkin dan pada masa yang sama meninggalkan segala kejahatan. Slogan ‘menghalalkan segala cara’ untuk kejayaan di dunia terutama dalam bidang keduniaan adalah semboyan syaitan dan iblis yang harus ditentang.

3. Golongan ketiga yang tidak rugi ialah mereka yang menggunakan masa hidupnya dengan menyampai atau menerangkan kebenaran/haq atau mereka yang membela/mempertahankan kebenaran contohnya agama Islam. Konsep kebenaran dalam Islam banyak jenis; kebenaran dalam tuturkata, kebenaran dalam tindakan, kebenaran dalam niat, kebenaran dalam pergaulan, kebeneran dalam politik, kebenaran dalam penghakiman dan sebagainya. Di antara banyak-banyak kebenaran, yang paling utama sekali ialah kebenaran yang berasal dari ALLAH yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Al-Quran iaitu Deen Islam.

Mengajar dan menyampaikan kebenaran wahyu Ilahi ini serta mempertahankan kebenarannya adalah misi tertinggi kemanusiaan. Golongan dai’ ini hidupnya tidak akan rugi. Selain tugas dakwah dan menyampai kebenaran adalah sia-sia dan rugi semata-mata. Bertambah rugilah manusia yang cara hidupnya di muka bumi ini untuk tujuan bersenang-senang dengan makan-minum, mengumpul kekayaan dan beranak-pinak saja. Golongan ini tidak mempunyai nilai di sisi Allah.
Apa sebenarnya Haq itu? Haq itu adalah kebenaran yang datang dari Allah. Oleh sebab itu ia tidak boleh dipertikaikan. Firman Allah:

“Kebenaran itu adalah dari Tuahnmu. Oleh sebab itu jangan sekali-kali kamu termasuk dari golongan orang yang ragu. (Al-Baqarah: 147)”

Kebenaran apa jua bentuknya adalah dari Allah. Induk dari segala kebenaran ialah Kalimah Tauhid “Laa ilaaha illallah” yang membawa maksud tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dalam ertikata Allahlah yang Maha Besar yang mesti disembah. Segala yang lain adalah makhlukNya. Tauhid adalah haq manakala syirik pula adalah bathil. Begitu juga syurga adalah haq, neraka haq, azab kubur haq, malaikat haq, tiitian sirath juga haq. Begitulah seterusnya diqiaskan kepada perkara-perkara lain seperti membaca Al-Quran, membuat kebajikan dan lain-lain. Manakala apa jua yang buruk dan keji yang dilarang oleh Allah adalah bathil seperti mencuri, meninggalkan solat, membunuh, syirik dan sebagainya.
Akal yang sihat yang dapat bimbingan Ilahi mampu melihat kebenaran itu sebagai kebenaran dan kesalahan itu sebagai kesalahan.

Apabila telah mengetahui sesuatu itu sebagai kebenaran, maka mudahlah kita mengikutinya. Begitulah sebaliknya jika kita mengetahui sesuatu itu sebagai kejahatan, mudahlah bagi kita menjauhikannya. Kefahaman sebegini adalah pemberian Allah kepada hamba yang disayangiNya. Betapa ramai manusia yang tidak diberikan kurniaan ini, lantas mereka menganggap bahawa kebaikan itu sebagai kejahatan manakala kejahatan pula dipandang sebagai kebaikan. Orang begini telah dipetri hatinya dan tidak dapat membezakan lagi antara baik dan jahat. Bagaimana mungkin sebuah kompas yang jarumnya sudah tidak menunjuk arah yang betul dijadikan panduan untuk meneroka satu padang pasir yang amat luas? Semoga kita dijauhkan dari keadaan yang gelap ini dan berdoalah mudahan dapat kita melihat yang haq itu haq dan bathil itu sebagai bathil.

Setelah mata hati kita dapat menyuluh hakikat kebenaran sesuatu perkara, dapatlah kita menjadikannya sebagai panduan hidup. Yang baik kita jadikan teladan dan yang jahat kita jadikan sempadan; sehinggalah ia menjadi resam hidup yang sebati dengan diri kita; dan inilah yang harus dijadikan asas perjuangan untuk diri dan masyarakat.

Setelah mempraktikkan kebenaran itu dalam diri sendiri barulah mudah memperkatakan kebenaran kepada orang lain. Misalnya berkata benar – tidak berbohong, menipu atau memfitnah. Telinga pula benar dari segi tidak mendengar perkara yang haram dan dilarang. Mata pula tidak melihat sesuatu kecuali yang halal. Pendekkata semua anggota tidak melakukan sesuatu kecuali yang benar dan tidak bercanggah dengan kebenaran itu sendiri iaitu ISLAM. Penyebaran dakwah ini menjadi penting dan wajib atau fardhu ‘ain dilakukan terutama dalam zaman kegawatan akidah dewasa ini. Tidak guna manusia yang asyik memperkatakan atau cuba menyelamatkan generasi ini dari kegawatan ekonomi saja tanpa sedikit pun memikirkan masalah yang Allah pandang besar iaitu kegawatan aqidah, moral dan agama. Adakah ekonomi akan menyelamatkan manusia terjun ke lembah hina di dunia dan terjun ke neraka di akhirat? Pendekatan ‘ekonomi adalah segala-galanya’ seolah-olah menafikan kebenaran Islam.

Setelah berhasil mencapai kebenaran dalam diri sendiri dan masyarakat amnya, barulah kejayaan itu diperkukuhkan atau dimantapkan secara istiqamah. Usaha ini perlu berterusan meskipun melalui duri dan ranjau yang cuba ditentang oleh puak yang memusuhi kebenaran iaitu Paksu (nafsu), Pak Leh (Iblis), Pak Wa (hawa) dan Pak Tan (syaitan). Di sini perlunya kesabaran – satu sifat yang perlu untuk menjadi golongan terakhir yang dinyatakan dalam Surah Al-‘Asr iaitu pendokong kesabaran.

4. Mereka yang menyampaikan nasihat dengan kesabaran adalah golongan terakhir yang beruntung dan tidak akan rugi. Konsep sabar dalam Islam ada 3 jenis: pertama, sabar menanggung kesusahan dan sebarang bala yang menimpa diri, kedua, sabar mengerjakan ketaatan seperti sabar untuk mengerjakan sembahyang dan segala ibadat lain, dan ketiga ialah sabar diri dari melakukan sebarang maksiat. Jelasnya, sabar yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah sabar atau tetap hati di dalam memegang ajaran Allah yang benar itu; tanpa sedikit pun bergoyang oleh sebarang anasir yang datang. Di antara musuh yang cuba menggoyang atau merosakkan pendirian ini ialah syaitan, nafsu, hawa dan iblis. Mereka yang sabar ialah mereka yang berjaya melawan diri dari musuh-musuh ini untuk mencapai keredhaan Allah.

Sumber:
http://www.Halaqah.net
Pengirim : jawdan
Editor : PenaHalaqah