Tag Archives: Add new tag

Insurans Islam atau bukan? Pilihan di tangan anda

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia telah sebulat suara memutuskan bahawa insurans hayat yang dikendalikan oleh syarikat insurans konvensional adalah satu muamalah fasad (yang rosak/tidak sah) dan bercanggah dengan ajaran Islam dari segi akadnya kerana mengandungi unsur-unsur gharar (ketidakpastian), maisir (judi) dan riba (faedah).

Insurans konvensional adalah haram kerana wujudnya unsur gharar iaitu ketidakpastian dalam transaksi muamalah di mana terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh sebelah pihak dan ianya boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta penganiayaan kepada pihak yang lain.

Di samping itu, insurans konvensional tidak sah kerana tidak memenuhi rukun dalam dan syarat jual-beli dalam Islam iaitu rukun akad (ijab dan kabul).

Unsur judi terdapat dalam kontrak insurans konvensional kerana peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya. Begitu juga peserta akan hilang wang premium apabila peristiwa yang ingin dilindungi (the insured event) tidak berlaku. Di samping itu, syarikat penginsurans akan rugi sekiranya terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima.

Ianya berbeza dengan sistem Takaful yang akan memberikan kadar keuntungan mengikut mudharabah sekiranya peristiwa yang ingin dilindungi (the insured event) tidak berlaku.

Seterusnya terdapat unsur riba dalam urusniaga pinjaman dari polisi yang ditawarkan kepada peserta dalam produk insurans hayat konvensional. Dalam sistem kemudahan pinjaman ini, syarikat insurans konvensional akan mengenakan bayaran faedah (interest) kepada peserta yang membuat pinjaman. Perkara sebegini rupa tidak berlaku di dalam Takaful kerana peserta dibenarkan membuat pengeluaran daripada polisinya tanpa dikenakan sebarang faedah.

Dewan Jurispundens Islam Liga Dunia Islam Mekah menganggap bahawa semua transaksi insurans moden termasuk insurans hayat adalah bertentangan dengan ajaran Islam, akan tetapi Dewan menyetujui adanya insurans koperatif yang tegak di atas prinsip taawun (tolong-menolong) seperti yang diterapkan dalam insurans takaful (Muhammad Abdul Manan, Islamic Economics Theory and Practice).

Prof Dr Yusuf Al Qardawi dalam bukunya Al Halal wal Harom Fil Islam mengatakan bahawa insurans konvensional diharamkan kerana semua syarikat penginsurans tidak membayar wangnya itu dengan maksud tabarru'(derma), bahkan nilai ini sedikitpun tidak terlintas. Tambahan pula wang tersebut telah diputar dengan jalan riba.

Dewasa ini, rata-rata insurans konvensional menamakan pelbagai produknya dengan nama dana-dana Islam yang mempunyai tujuan yang satu untuk mengaburi mata pelanggan- pelanggan Muslim mereka kononnya produk mereka juga adalah halal.

Masyarakat Islam di Malaysia diberi alternatif yang jelas untuk memilih sama ada berurus niaga secara Islam atau bukan Islam. Ianya berlainan sekiranya tidak ada pilihan yang dikira darurat. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Tidak ada ruginya kita mengubah polisi insurans yang sedia ada.

Sumber : www.abim.org.my

Advertisements